Guna pasport individu lain dapatkan vaksin, wanita Myanmar dipenjara 18 bulan

Shuhada Abdul Kadir
September 3, 2021 17:13 MYT
Tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dilakukan di sebuah klinik di Taman Cheng Perdana, Melaka pada 28 Julai dan 18 Ogos lepas. - Gambar/ Astro AWANI
MELAKA: Padah menggunakan pasport individu lain untuk mendapatkan dua suntikan vaksin COVID-19, seorang wanita warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat.
Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas That That Mar, 27, setelah dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dilakukan di sebuah klinik di Taman Cheng Perdana, Melaka pada 28 Julai dan 18 Ogos lepas.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pembantu kedai makan itu telah memperdaya Dr Diong Sheih Yee dan jururawat G. Saavitri dengan menggunakan pasport milik Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin COVID-19.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, That didakwa mengikut Sekyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama selepas didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan ke atas That memandangkan kes yang dilakukan wanita itu adalah serius.
Muhammad Nazrin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 18 Ogos lepas.
#warga asing #vaksinasi #salah guna pasport #hukuman penjara
;