Guna nombor plat 'fancy' boleh didenda, penjara
Sinar Harian
Jun 13, 2022 08:00 MYT
Jun 13, 2022 08:00 MYT
SHAH ALAM: Individu atau pemilik kenderaan yang mempamerkan nombor pendaftaran 'fancy' boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM2,000 dan penjara atau kedua-duanya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi di bawah Kaedah 6, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959 boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM250 atau boleh didakwa di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
"Pemilik berdaftar juga akan diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).
"Mereka diberi masa selama sepuluh hari untuk hadir pemeriksaan di mana-mana JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan menukar nombor pendaftaran yang mengikuti spesifikasi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah Khairul, nombor pendaftaran kenderaan hendaklah dipamer mengikut saiz dibenarkan serta tidak menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’ yang boleh mengelirukan.
Dalam pada itu, JPJ Selangor telah melaksanakan Op Nombor Pendaftaran di Seksyen 15, di sini pada Jumaat.
Katanya, operasi bermula jam 8 malam telah mengambil tindakan ke atas 35 kenderaan membabitkan motosikal serta kereta persendirian mempamerkan nombor pendaftaran 'fancy' atau tidak mengikut spesifikasi.
"Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," ujarnya.
Katanya lagi, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian