Guna nama Sultan untuk teroka hutan secara haram

Muhafandi Muhamad
April 20, 2016 20:18 MYT
ZAHARI: Setakat ini lebih tujuh ribu hektar kawasan hutan simpan kekal di kawasan pedalaman Kelantan diteroka oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar Astro AWANI
Jabatan Perhutanan Kelantan mendedahkan wujudnya sindiket menggunakan nama kerabat Sultan Kelantan untuk meneroka hutan secara haram di negeri ini.
Menurut Pengarahnya, Zahari Ibrahim, setakat ini lebih tujuh ribu hektar kawasan hutan simpan kekal di kawasan pedalaman Kelantan diteroka oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Ia didalangi oleh sindiket dengan mengaburi mata rakyat dengan menjual nama orang-orang kenamaan dan istana.
"Mereka menjual lot tanah secara haram kepada orang awam," kata Zahari semasa ditemui media, di sini hari ini.
Pada Selasa, satu operasi serbuan dijalankan secara bersama oleh Jabatan Perhutanan Kelantan dan pihak polis ke atas peneroka di Hutan Simpan Kekal Ulu Galas.
Operasi berjaya memberkas tiga individu yang dipercayai mengurus serta mengusahakan tanah secara haram.
Mereka dipercayai terlibat secara langsung dengan sindiket ini yang telah beroperasi di kawasan tersebut sejak lebih setahun lalu.
"Operasi yang dijalankan semalam adalah satu tindakan bersiri pihak Jabatan Perhutanan untuk tangani isu baharu iaitu menyalahgunakan nama kerabat Sultan Kelantan," ujar Zahari.
Tinjauan semasa operasi turut mendapati kawasan tersebut juga diletakkan papan tanda yang tertera nama 'Sultan Muhammad V'.
Tambahnya, isu penerokaan hutan dan tanah haram di kawasan hutan simpan kekal sudah berlarutan di Kelantan sejak sekian lama.
Namun, dalang-dalang sindiket dilihat sangat licik mengubah modus operandi bagi mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa.
#Jabatan Perhutanan Kelantan mendedahkan wujudnya sindiket menggunakan nama kerabat Sultan Kelantan untuk meneroka hutan secara haram di negeri itu #Zahari Ibrahim.
;