Guna motosikal bapa untuk lumba haram, remaja bawah umur ditahan
Astro Awani
April 14, 2019 17:24 MYT
April 14, 2019 17:24 MYT
Sudahlah guna motosikal ibu bapa tanpa kebenaran, ditunggang pula untuk perlumba haram.
Itu yang dilakukan sekumpulan remaja bawah umur yang akhirnya diberkas dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Grandsaga Cheras, Kajang, malam Sabtu.
Operasi Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang bersama tiga pegawai dan 23 anggota itu turut menyekat seketika kedua-dua hala laluan kumpulan remaja berkenaan.
Operasi bermula jam 9.30 malam tadi berhasil dengan 113 buah motosikal ditahan untuk pemeriksaan.
Selain itu, polis turut melalukan pemeriksaan badan terhadap 123 individu terbabit.
Apabila ditanya mengapa mereka menggunakan motosikal ibu bapa, pelbagai alasan telah diberikan.
“Motosikal ini milik saya sendiri, dibelikan ibu dan bapa saya. Mereka tahu saya keluar pagi ini bersama rakan-rakan saya,” kata salah seorang suspek bawah umur.
Dalam operasi itu, 157 saman dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan, antaranya nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak memiliki lesen pemandu dan mengubah suai kenderaan.
Sebanyak 10 buah motosikal pula disita dan 14 individu turut diarah melakukan ujian saringan air kencing.
Operasi tersebut berakhir pada jam 7 pagi Ahad.
#Lebuhraya Grandsaga Cheras
#lumba haram
#motosikal ibu bapa
#Ops Samseng Jalanan
#remaja bawah umur