Guna mesin layan diri IPR, pendapatan suami isteri lonjak lima kali ganda

Bernama
Mei 2, 2024 04:00 MYT
Amin Afifi berkata dia bersama isterinya menyediakan pelbagai jenis menu di mesin layan diri bagi memberi pilihan kepada pelajar-pelajar di situ mendapat makanan yang variasi. - Gambar Bernama
BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri yang meniaga makanan dari rumah dengan keuntungan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, tidak menyangka maklumat yang diperoleh daripada Facebook mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) membantu mereka meraih pendapatan hampir lima kali ganda.
Amin Afifi Yaakob, 36, berkata, dia dan isterinya, Yufaeza Yussof, 30, kini mampu memperoleh pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan dengan berniaga menggunakan mesin layan diri (vending machine) yang dibekalkan di bawah IPR, kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) sejak Oktober tahun lepas.
"Saya sebelum ini berniaga pelbagai jenis makanan termasuk kek dari rumah iaitu jualan dibuat menerusi laman sosial dan apabila mengetahui mengenai IPR menerusi Facebook, saya terus mendaftar sebelum dihubungi yang saya berjaya menyertainya menerusi bantuan mesin layan diri.
"Kami dapat mesin pada September 2023 dan mula berniaga menggunakannya bermula Oktober di kafeteria di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan," katanya ketika ditemui Bernama.
Amin Afifi yang mempunyai dua anak lelaki berusia tiga dan enam tahun itu berkata, dia bersama isterinya menyediakan pelbagai jenis menu di mesin layan diri bagi memberi pilihan kepada pelajar-pelajar di situ mendapat makanan yang variasi.
Katanya, makanan yang disediakan juga mengikut menu terkini dan pilihan pelajar termasuk nasi lemak, ayam goreng Korea, ayam goreng keju, cop ayam, spageti, kekacang, tortilla, sandwic dan pelbagai lagi.
"Menu kita sentiasa berubah-ubah mengikut pilihan makanan terkini dan tular, lagi satu saya selalunya bertanya apa yang mereka (pelajar) mahu supaya makanan yang kami sediakan itu memang menjadi pilihan mereka dan saya lebih suka bawakan menu dari restoran makanan segera dengan harga yang berpatutan.
"Nasi lemak dengan lauk telur, nuget dan sosej serta nasi lemak lauk ayam yang dijual dengan harga RM3 dan RM4 merupakan menu yang sering habis awal di mesin layan diri itu, malah ia merupakan makanan yang diletakkan setiap hari di situ berbanding menu lain yang saya letak secara berselang-seli," katanya.
Amin Afifi yang tinggal di Bukit Minyak di sini berkata, setiap hari dia akan membeli barangan segar untuk memasak sebelum menghantar ke mesin layan diri itu pada 2 petang dan 10 malam setiap hari supaya makanan itu sentiasa dalam keadaan segar.
Sebanyak 60 hingga 70 peratus makanan yang dihantar ke mesin layan diri itu katanya, ialah hasil air tangan dia dan isteri, manakala selebihnya adalah daripada vendor yang membekalkan makanan seperti burger, roti john dan piza kerana mahu berkongsi rezeki dengan mereka.
"Menu yang kami jual selalunya tidak sama dengan makanan di kafeteria kerana kita tidak mahu bersaing dengan mereka, malah makanan yang dihantar di mesin layan diri itu juga pada sebelah malam selepas kafeteria ditutup jadi pelajar-pelajar mempunyai pilihan untuk beli.
"Saya juga akan maklumkan menu apa yang dihantar di mesin layan diri terbabit menerusi kumpulan Telegram pelajar UiTM di situ supaya mereka dapat membelinya. Setiap bulan saya boleh menjual hingga lebih 5,000 kuantiti pelbagai jenis makanan yang dijual dengan harga RM1 hingga RM8.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Ekonomi yang membuka peluang rezaki baharu kepada mereka, sekali gus dapat menarik nafas lega kerana tidak lagi dibelenggu masalah pendapatan tidak menentu.
IPR yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Februari tahun lepas bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.
Inisiatif berkenaan melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar MADANI.
Menerusi inisiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat terpilih serta kos sewaan bulanan yang dianggarkan antara RM600 hingga RM800 ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama dua tahun.
Selain INSAN, IPR turut menawarkan kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) kepada syarikat pertanian, rantaian peruncitan makanan, pengeksport, agensi-agensi kerajaan berkaitan dan koperasi serta Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) kepada syarikat swasta yang memerlukan pekerja sambilan untuk tujuan pembersihan premis. - BERNAMA
#Kementerian Ekonomi #intan #Ikhsan #RMK12
;