Guna lorong kecemasan, 52 kenderaan disaman

Bernama
Julai 12, 2016 08:00 MYT
Kebanyakan pengguna yang disaman adalah wanita, mungkin kerana kurangnya kesedaran tentang penggunaan lorong kecemasan, kata ASP Leonard Lawrence Abbie. - Gambar fail
Sejumlah 52 saman dikeluarkan Polis Trafik Kuala Lumpur dalam Op Selamat 9 yang diadakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Desa Petaling, di sini, petang semalam.
Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur ASP Leonard Lawrence Abbie berkata operasi kira-kira dua jam bermula 5.30 petang itu menyasarkan kesalahan pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan ketika waktu puncak.
"Dalam operasi kali ini, dua pegawai dan enam anggota ditugaskan bagi mengesan pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
"Hasil pemeriksaan, kebanyakan pengguna yang disaman adalah wanita...ini berkemungkinan kerana kurangnya kesedaran tentang penggunaan lorong kecemasan ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi itu.
Beliau berkata pengguna seharusnya tidak mengambil kesempatan memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan.
"Saya harap ini dapat menjadi peringatan kepada pengguna lain agar tidak menggunakan lorong kecemasan dengan sesuka hati," katanya.
Leonard berkata pihaknya akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa terutamanya di 10 lokasi utama di ibu kota.
Antara jalan yang diberi tumpuan ialah Jalan Kepong, Jalan Cheras, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MMR2), Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi, katanya.
Katanya mereka yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.
#ASP Leonard Lawrence Abbie #Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 #lorong kecemasan #Op Selamat 9 #saman
;