Guna logo halal tamat tempoh, rempah-ratus bernilai lebih RM12,000 dirampas
Bernama
Julai 17, 2024 07:00 MYT
Julai 17, 2024 07:00 MYT
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 2,498 bungkus rempah-ratus bernilai RM12,490 kerana menggunakan sijil halal tamat tempoh dalam serbuan di sebuah kilang di Permatang Tinggi, di sini pada Rabu.
Pengarahnya S.Jegan berkata operasi bersepadu itu dijalankan pihaknya bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) pada jam 11 pagi.
"Bertindak hasil maklumat dan risikan, kami menjalankan operasi di kilang itu dan mendapati bungkusan rempah-ratus masih menggunakan logo halal Malaysia tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya.
"Sijil halal di kilang rempah-ratus itu telah tamat tempoh sejak lapan tahun lepas, sebelum ini syarikat tersebut mempunyai sijil halal namun atas beberapa faktor sijil tersebut gagal diperbaharui, namun pemiliknya masih menggunakannya (logo sijil halal)," katanya dalam kenyataan semalam.
Jegan yang mengetuai operasi berkata tindakan syarikat itu boleh mengelirukan pengguna terutama pelanggan beragama Islam.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diambil tindakan di bawah Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.
KPDN Pulau Pinang memberi amaran kepada peniaga agar tidak menggunakan logo halal Malaysia tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
-- BERNAMA