Guna laluan sah jika ingin ke Pasar Mundok - PGA
Bernama
Jun 1, 2023 05:30 MYT
Jun 1, 2023 05:30 MYT
PASIR MAS: Orang ramai yang ingin pergi ke Pasar Mundok, Thailand, yang terletak bertentangan dengan Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang, di sini, dinasihatkan supaya menggunakan laluan sah.
Pasar Mundok diadakan pada setiap Isnin dan Jumaat menjadi tumpuan rakyat negara ini untuk membeli-belah, malah mereka didapati menyeberang ke pekan itu menggunakan bot penumpang yang berulang-alik melalui Sungai Golok.
Bercakap kepada Bernama, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Sheik Azhar Sheik Omar berkata anggota pasukan itu ditempatkan di Pangkalan Jitong (Jeram Perdah) pada setiap Isnin dan Jumaat.
"Operasi telah diadakan sejak Isnin lalu, kita buat sekatan, menjalankan pemeriksaan dan menasihatkan supaya mereka yang ingin masuk ke Pekan Mundok menggunakan pintu laluan sah," katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Sheik Azhar berkata penugasan anggota di lokasi terbabit akan dilaksanakan serta dijalankan secara berterusan.
"Langkah menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laluan sah juga bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan masuk ke negara ini tanpa menggunakan dokumen yang sah.
"Tiada tangkapan dilakukan setakat ini, kita cuma tahan dan beri nasihat supaya mereka supaya berpatah balik dan mendapatkan pas sempadan dan guna laluan masuk yang sah," katanya.
Terdahulu tular di media sosial orang ramai yang ingin ke Pekan Mundok terpaksa berpatah balik berikutan adanya sekatan jalan raya dikendalikan oleh anggota PGA.
--BERNAMA