Guna KWAN: Kluster merungut tidak konsisten

Wan Saiful Wan Jan
April 24, 2021 14:37 MYT
Berbagai komen diberikan mengenai keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran dana KWAN untuk tujuan menangani COVID-19.- Gambar hiasan
BERBAGAI komen diberikan mengenai keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk tujuan menangani COVID-19. Beberapa tokoh politik yang mengepalai "kluster merungut" pun berterusan merungut.
Mereka kata KWAN untuk masa depan. Akta KWAN ini tarikhnya ialah 1988. Dah lebih 30 tahun. Kalau waktu krisis COVID ini tak boleh digunakan, apa guna 30 tahun lepas kita wujudkan dana KWAN? "Masa depan" yang dimaksudkan pada tahun 1988 itu ialah hari ini.
Dan betulkah dana KWAN tidak pernah diguna langsung? Setakat saya tahu, ia pernah digunakan termasuklah untuk perkara. Ada yang tak berapa kecemasan pun. Menteri Kewangan pasti boleh senaraikan penggunaan dana KWAN sebelum ini cuma mungkin beliau tunggu masa yang betul saja untuk jawab tuduhan palsu ini.
Ada nama-nama besar UMNO yang belum habis dengan rungutan. Terlalu sibuk cari topik untuk merungut hingga terlupa baca memo yang memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan dan Menteri yang mengetuai semua urusan berkaitan vaksin adalah kedua-duanya dari UMNO sendiri. Kluster merungut ini gagal berbincang diperingkat dalaman kawan-kawan sendiri sebab terlalu ghairah nak tunjuk pandai merungut agaknya.
Bagaimanapun, topik pengeluaran dana KWAN ini adalah topik yang memang wajar dibincang secara rasional. Ia membabitkan tabung yang sepatutnya untuk masa depan negara. Ini isu penting.
Saya melihat isu KWAN ini sama seperti isu KWSP. Dana KWSP adalah simpanan kita sebagai individu untuk masa depan. Dana KWAN pula adalah simpanan negara untuk masa depan. Dalam situasi biasa, kedua-duanya adalah dana yang sepatutnya kita elak dari sentuh sebab matlamatnya ialah untuk masa depan.
Era COVID-19 ini ialah era situasi luar biasa. Kita semua sedang terhimpit. Ada yang hilang pekerjaan. Peniaga kecil dan sederhana yang membentuk lebih 95 peratus perniagaan di Malaysia ada yang terpaksa tutup kedai. Ini era rakyat susah.
Maka dalam era rakyat susah ini, kita semua mendesak supaya kerajaan benarkan pengeluaran KWSP serta merta. Kerajaan benarkan, tetapi ada syarat yang ketat untuk seimbangkan antara keperluan mendesak hari ini dengan tabungan untuk masa depan.
Sebagai rakyat, kita berterima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang prihatin kerana benarkan kita keluarkan KWSP walaupun kerajaan kenakan syarat. Sebab kita pun tahu bahawa kita perlu duit itu untuk belanja hari ini kerana kita mesti sara kehidupan hari ini, walaupun terpaksa belanjakan dana yang asalnya untuk masa depan. Itu lah logiknya kenapa kita tuntut boleh keluarkan KWSP hari ini. Iaitu sekarang ini waktu yang luar biasa.
Syarat yang dikenakan ialah penyelamat, tetapi kita terima syarat-syarat itu untuk elak salah guna. Syarat-syarat itu adalah untuk elak salah guna dana yang sebenarnya ialah untuk masa depan. Memang wajar ada syarat pun.
Dana KWAN juga adalah dana masa depan. Itu memang kita tahu. Tetapi disebabkan sekarang era krisis yang memerlukan perbelanjaan luar biasa, maka diluluskanlah kebenaran untuk kerajaan belanja dana KWAN jika diperlukan. Ia akan dibelanjakan hanya jika kita perlu dana itu pada hari ini walaupun asalnya KWAN - seperti KWSP - adalah untuk masa depan.
Logik pembenaran pengeluaran KWAN adalah sama dengan masa kita tuntut pembenaran pengeluaran KWSP dulu. Iaitu sekarang ini adalah waktu yang luar biasa. Dan ia adalah untuk jaga rakyat. Bukan untuk kumpul berbilion ringgit untuk diri sendiri dan bukan untuk beli barang-barang mewah untuk isteri atau jaga kroni.
Sebab itulah kita perlu berhati-hati membaca komen dari kluster merungut. Mereka ini bukan fikir mengenai rakyat. Mereka fikir apa yang mereka boleh rungutkan saja. Maklumlah, senang popular bila merungut sebab nampak macam hero.
Hari ini mereka merungut mengenai pengeluaran dana KWAN sebab kononnya KWAN adalah untuk masa depan. Padahal mereka ini lah yang dulu merungut menuntut KWSP boleh dikeluarkan. Masa itu, mereka guna alasan tiada faedah jaga masa depan jika hari ini tak boleh jaga rakyat. Tapi sekarang terlupa pula hujah itu. Agaknya, terlalu sibuk cari topik untuk merungut hingga tidak sedar bahawa rungutan mereka dah jadi tidak konsisten langsung.
Tambahan pula, sudah pasti ada syarat-syarat ketat yang akan dikenakan oleh kerajaan PN untuk membolehkan dana KWAN dibelanja. Bukan semberono sahaja.
Kita perlu ingat kerajaan PN ini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang sanggup hilang segala-galanya untuk pertahankan integriti. Jangan kita lupa bahawa Tan Sri Muhyiddin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Dato Sri Najib Razak disebabkan beliau melawan korupsi dan kleptokrasi. Dato Sri Najib melantik Dato Seri Zahid Hamidi untuk ambil alih jawatan Tan Sri Muhyiddin.
Dengan latar belakang sebagai pejuang integriti dan kesungguhan melawan salah laku hingga sanggup dipecat, dihina, dan digantikan dengan orang lain, tidak mungkin Muhyiddin akan benarkan dana KWAN disalahguna seperti di zaman 1MDB dan SRC dulu.
Sekarang ini adalah zaman baru. Ini zaman integriti dan prihatin, bukan zaman rasuah untuk membina kekayaan diri dan kemewahan isteri dan kroni seperti dulu. Keutamaan hari ini ialah menjaga nasib rakyat dan kerajaan sanggup buat apa sahaja untuk pastikan rakyat terbela.

*Datuk Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Penerangan Bersatu Malaysia
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#COVID-19 #Najib Razak #Zahid Hamidi #Malaysia #KWAN #kluster merungut #dana KWAN #Akta KWAN #vaksin #Wan Saiful Wan Jan
;