Guna kuasa mutlak teruskan acara terjun wanita SUKMA 2022 - Menteri Sarawak

Fadilah Sulaiman
Julai 26, 2022 15:16 MYT
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, hal ini penting agar tidak membantutkan pembangunan atlet yang terlibat dalam acara itu.
KUCHING: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digesa menggunakan kuasa mutlak selaku Menteri Belia dan Sukan jika ada, untuk meneruskan acara terjun wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Tegas Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, hal ini penting agar tidak membantutkan pembangunan atlet yang terlibat dalam acara itu.
“Kerana saya melihat berapa ramai atlet-atlet muda yang telah berlatih dua tahun untuk masuk acara terjun, dan saat-saat akhir macam ini dibatalkan.. apa perasaan mereka? Bagaimana pula ibu bapa mereka, berapa banyak wang sudah dibelanjakan (untuk persiapan)?
“Itulah sebabnya secara peribadi saya rasa teruskan saja acara ini memandangkan ada tiga ke empat negeri yang terlibat.
“Kalau (Ahmad Faizal) ada kuasa veto, beliau patut gunakannya demi semangat kesukanan kerana acara ini telah memberi nama kepada Malaysia dalam sukan Olimpik dan sukan SEA.. jadi kenapa tidak? Kalau tak, bagaimana nak membangunkan sukan?” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa disoal pemberita selepas menghadiri tayangan perdana telefilem ‘Misi’ di sebuah panggung wayang dekat sini pada Isnin.
Jelas Abdul Karim, situasi sama pernah dihadapi sebelum ini di peringkat antarabangsa yang melibatkan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
Tetapi atas semangat kesukanan, tuan rumah sukan SEA, Vietnam pada ketika itu menambah peserta mencukupkan kuota acara tersebut agar ianya tidak terbatal dan sia-sia.
“Ketika itu acara itu hanya disertai oleh Malaysia dan Singapura sahaja. Vietnam selaku tuan rumah, atas semangat kesukanan untuk memastikan atlet terlibat tidak kecewa, telah menambah atletnya menjadikan penglibatan tiga negara lalu layak.
“Hadiah hanya diberi kepada nombor satu dan dua sahaja. Malaysia diwakili Pandelela dapat Emas, dan Singapura dapat Perak.. inilah caranya untuk kita menangani masalah tersebut,” tekannya lagi.
Terdahulu, Pandelela pada 21 Julai lalu, memuat naik kekecewaannya menerusi Twitter, yang mendakwa pembatalan acara terjun wanita dalam SUKMA pada September depan adalah angkara politiking sukan oleh pihak penganjur.
Ciapan tersebut kemudian menjadi tular dan mendapat reaksi pelbagai.
#Acara Terjun Wanita #Pandelela Rinong #Ahmad Faizal Azumu #Sukan Malaysia #Sukma 2022
;