Guna kredit ePemula dengan bijak, sokong usahawan tempatan - PM
Raja Hisyam Raja Zaid
April 15, 2022 17:19 MYT
April 15, 2022 17:19 MYT
CYBERJAYA: Golongan belia diharap mampu mengamalkan perbelanjaan dengan lebih bijak terhadap kredit yang diberikan menerusi ePemula untuk menyokong perniagaan tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan ia secara tidak langsung mampu memulihkan ekonomi terutamanya yang membabitkan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS).
"Tujuan utama program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan saudara-saudari Keluarga Malaysia.
"Proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit ini telah pun dibuka beberapa hari lalu, iaitu pada 11 April.
"Belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam e- dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet," jelasnya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran ePemula di sini petang tadi.
Kerajaan juga jelasnya sentiasa menyarankan kesemua usahawan, khasnya PMKS supaya mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika Fasa Peralihan ke Endemik.
Ia bagi membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai-kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.
"Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing," jelasnya lagi.
Kerajaan juga yakin bahawa program seperti ePemula akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan.