Guna kotak media dengan perisian tidak sah, bahayanya di pihak pengguna juga - SKMM

Fareez Azman
Februari 17, 2021 15:00 MYT
Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata penggunaan perisian tidak sah di dalam kotak media memberi risiko kepada pengguna menjadi mangsa serangan siber atau virus kepada peranti elektronik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penggunaan kotak media yang dihubungkan dengan perkhimatan internet menerusi WiFi membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan penstriman secara selesa, langsung dari rumah mereka.
Itu dari sudut positifnya, namun apabila peranti terbabit digunakan untuk mendapatkan aplikasi dan kandungan secara haram, ia sebenarnya mengundang padah.
Di sebalik kemudahan teknologi itu, rata-rata pengguna tidak menyedari risiko mereka yang membuka ruang untuk menjadi mangsa serangan siber.
Serangan Siber
Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, perisian tidak sah yang dimasukkan oleh pihak tertentu membuka 'pintu' untuk pengguna menjadi mangsa penggodam ataupun serangan virus pada peralatan digunakan.
"Salah satu risiko yang terdapat dalam perisian tidak sah ini adalah pendedahan kepada risiko sekuriti, kerana kita sedia maklum kotak media ini disambungkan dengan capaian internet.
"Apabila kita dapatkan perkhidmatan dari server atau perkhidmatan ini, tidak dapat kita pastikan keselamatan siber. Mungkin kita terdedah dengan malicious malware atau apa-apa bentuk virus, boleh memasuki rangkaian internet kita.
"Ini satu risiko kita perlu faham, ini adalah pintu masuk virus komputer, boleh merosakkan komputer atau peralatan elektronik," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Rabu.
Usaha memerangi sindiket perisian tidak sah
Dalam pada itu, mengulas kejayaan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mendakwa seorang pengarah syarikat yang memiliki kotak media dengan perisian tidak sah pada Selasa, beliau berkata kes itu telah membuka laluan baharu dalam usaha memerangi jenayah siber itu.
"Kerjasama yang kita adakan dengan agensi-agensi yang lain, setiap kes terutamanya adalah usaha sama penguatkuasa dan juga kita menggunakan semua undang-undang boleh digunakan bagi mengatasi isu pelanggaran Akta Hak Cipta 1987.
"Penggunaan Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini satu perkembangan positif, kerana kes itu merupakan satu bentuk penipuan dan fraud, kita lihat ini hasil yang kita usahakan selama ini," katanya lagi.
Taktik licik sindiket
Pada masa sama tambah Zulkarnain, pengguna juga jelasnya harus lebih bertanggungjawab dan berhati-hati agar tidak diperdaya oleh penjual kotak media.
Sebaliknya, jika terdapat perisian tidak sah di dalam kotak media itu, pengguna seharusnya melaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak membelinya.
"Selama ini kita melihat bahawa salah satu perkara kita dapati mereka (penjual) berselindung di sebalik kelulusan pematuhan standard.
"Apabila kita buat operasi, kita dapati box (kotak media) ini mendapat pengiktirafan pematuhan dari segi standard, jadi tindakan penguatkuasaan bawah peraturan standard tidak boleh digunakan.
"Tetapi apabila dimasukkan walaupun peranti dapat kelulusan SKMM dan SIRIM, tetapi jika dimasukkan perisian membolehkan mendapat siaran yang dilindungi Akta Hak Cipta, ia adalah satu penipuan dan boleh diambil tindakan," ujarnya lagi.
Keadilan buat industri kreatif
Sementara itu jelas Zulkarnain lagi, tindakan SKMM dan PDRM dalam memerangi sindiket perisian tidak sah itu adalah untuk memberi keadilan buat pemain industri kreatif tanah air.
"Bagi yang ada di rumah saya nasihatkan supaya batalkanlah akaun tersebut kerana kita harus sedar bahawa perbuatan kita itu menyalahi undang-undang.
"Kita tidak mahu pemain-pemain industri, pekerja dan penyedia perkhidmatan industri kreatif kita, periuk nasi mereka terjejas kerana perkara ini," katanya lagi.
Semalam, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#PDRM #Astro Awani #SKMM #Media #Mahkamah Sesyen #keselamatan #serangan siber #Polis Diraja Malaysia #jenayah #mangsa #serangan #kotak media #Akta Hak Cipta 1987 #Seksyen 232 2 Kanun Keseksaan #penjual #sindiket
;