Guna khidmat pengusaha pelancongan berdaftar, jamin keselamatan pelancong

Eton Khir
Oktober 5, 2021 14:09 MYT
Aktiviti pemantauan itu bertujuan memberi mesej kepada penggiat industri pelancongan bahawa MOTAC sentiasa memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan serta pematuhan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dari semasa ke semasa. - Bernama
KUALA LUMPUR : Orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan pengusaha pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk sebarang aktiviti pelancongan di Langkawi.
MOTAC dalam kenyataan pada Rabu mendapati, ada pelancong menggunakan khidmat pengusaha pelancongan yang tidak berlesen dan tidak berdaftar dengan kementerian tersebut menerusi soal selidik selama tiga hari oleh pasukan penguatkuasaan MOTAC, bermula 1 hingga 3 Oktober lalu.
"Sebahagian besar pelancong dilihat lebih cenderung untuk membuat tempahan tiket pengangkutan, penginapan dan tiket lawatan secara persendirian. Oleh yang demikian, pengusaha yang tidak berlesen dinasihatkan memohon lesen dengan MOTAC bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan," katanya.
Sementara itu, katanya, aktiviti pemantauan oleh pasukan penguatkuasaan MOTAC terhadap aktiviti pelancongan di Langkawi dijalankan di laluan pintu masuk laut dan udara ke pulau itu, serta tempat tumpuan pelancong.
Ujarnya, aktiviti pemantauan itu bertujuan memberi mesej kepada penggiat industri pelancongan bahawa MOTAC sentiasa memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan serta pematuhan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dari semasa ke semasa.
"Fokus pemantauan adalah untuk melihat sejauh mana Tour Operating Business and Travel Agency Business (TOBTAB) patuh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, selain mendapatkan reaksi orang ramai yang melancong dalam suasana norma baharu.
"Antara lokasi yang dijalankan pemantauan termasuk di sekitar Kilim Geoforest Park, Tanjung Rhu, Langkawi SkyCab, Langkawi Wildlife Park, Pantai Cenang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Terminal Jeti Kuah Langkawi," katanya.
Tambahnya, pasukan penguat kuasa turut meninjau premis pelancongan bagi melihat perkembangan terkini perniagaan yang dijalankan serta turut memaklumkan kemudahan serta kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan melalui MOTAC sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Termasuk pengecualian fi pembaharuan lesen, diskaun pengurangan kompaun 40 peratus dan Bantuan kewangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)," katanya.
Selain itu, kenyataan itu berkata, hasil soal selidik juga mendapati kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan berpuas hati terhadap khidmat pengusaha pelancongan yang disediakan sepanjang percutian mereka.
Pelaksanaan aktiviti pemantauan SOP itu juga bertujuan memastikan Keluarga Malaysia dapat melancong ke pulau itu dengan selamat dan secara tidak langsung boleh membantu dalam menjana semula pendapatan negara melalui aktiviti pelancongan domestik.
"Ia juga selaras sasaran mencapai kehadiran seramai 400,000 pelancong ke Langkawi sehingga Disember 2021," katanya.
Pada masa sama, kejayaan Gelembung Pelancongan Langkawi itu boleh dijadikan penanda aras untuk membolehkan destinasi pelancongan lain mengadaptasikan SOP dan kaedah pengurusan yang baik selepas negara mencapai kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa sebanyak 90 peratus.
Kenyataan itu juga mengulas, orang ramai boleh mendapatkan maklumat atau perkembangan terkini melalui laman web rasmi MOTAC di www.motac.gov.my
#ekonomi #SOP #Langkawi #pelancongan
;