Guna kereta perisai berantai untuk geledah Tanjung Batu

Haider Yutim
Mac 18, 2013 10:28 MYT
Beberapa buah kereta perisai berantai yang tiba di Lahad Datu adalah untuk meningkatkan kekuatan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.
Menurut Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, kereta-kereta perisai itu dibawa dari Semenanjung Malaysia untuk mengukuhkan lagi operasi serta mendominasi kawasan-kawasan Tanjung Labian apabila operasi tamat.
Beliau juga memberitahu kereta perisai tersebut akan digunakan untuk menggeledah kawasan Tanjung Batu bagi mencari saki baki pengganas Sulu.
“Mereka semua sudah sampai dan digunakan untuk operasi seterusnya khususnya saki baki kawasan Tanjung Batu yang mana kita masih lagi menggeledah dan mencari serta mengesan kawasan rumah, belukar dan sebagainya,” kata Zaki.
Beliau memaklumkan, kereta-kereta perisai itu dibawa oleh kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menolak kenyataan ketua pengganas, Jamalul Kiram III mengenai genjatan senjata.
Katanya, beliau tidak pernah mempercayai kata-kata Kiram mahupun ahli keluarganya sejak hari pertama lagi.
“Tiada gencatan senjata. Malah, semasa dia menyebut tentang gencatan senjata, dalam masa yang sama dia telah mengingkarinya apabila anggota keselamatan kita telah ditembak. Sebab itu lah sejak hari pertama lagi saya tidak percaya kata-kata Jamalul Kiram mahupun keluarga Kiram,” kata Hamza.
Pagi tadi, dua lagi pertempuran telah berlaku di antara pasukan keselamatan dengan saki baki pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib bagaimanapun berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dalam pertempuran tersebut.
“Tidak ada apa-apa kemalangan jiwa di kedua-dua pihak dan operasi menjejak mengesan musuh masih diteruskan,” katanya.
Setakat ini jumlah tangkapan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 masih 104 dan tangkapan bagi kesalahan-kesalahan lain, 240.
Mayat yang telah dikeluarkan pula sebanyak 28 dan jumlah musuh yang telah ditembak mati, 62.
Ops Daulat yang telah memasuki hari ke-14 telah mengorbankan sembilan anggota keselamatan negara, manakala sembilan lagi cedera.
#Filipina #Kiram #Lahad Datu #Ops Daulat #polis #Sabah #Sulu #tentera