Guna jengkaut angkat ular sawa 100 kilogram

Abd Razak Mohd Ali
Jun 2, 2021 21:26 MYT
Operasi menangkap reptilia itu dijalankan dengan menggunakan alat penjerut sebelum diangkat menggunakan jengkaut ekoran saiznya yang agak besar. - Gambar/ JBPM
LARUT: Seorang pemandu jengkaut yang sedang membersihkan kawasan pembinaan di Jalan Kubu Gajah dekat Selama di sini, terkejut menemui seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram (kg).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd Nor Khairi Johari, lelaki itu kemudian menghubungi pihaknya sebelum lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian jam 12.11 tengah hari Selasa.
"Operasi menangkap reptilia itu segera dijalankan dengan menggunakan alat penjerut sebelum ular itu diangkat menggunakan jengkaut ekoran saiznya yang agak besar.
"Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum reptilia itu dibawa balik ke balai untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, ular berkenaan tidak dapat diselamatkan.
"Ular ni kalau sudah lurus badannya, bermakna ia sudah berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan'.
"Jadi apabila ia sudah mati, kita lupuskan dengan menanamnya," katanya ketika dihubungi malam ini.
#ular sawa #100kg #jengkaut #bomba #besar
;