Guna je lagu saya, YB, saya rela - Altimet
Rahimah Abdullah
Mac 11, 2023 14:10 MYT
Mac 11, 2023 14:10 MYT
NAMPAKNYA isu lagu "Hasrat" yang menjadi kontroversi baru-baru ini masih belum reda.
Ia selepas penulis dan juga penyanyinya, Amir Jahari tidak mahu lagu itu digunakan Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk tujuan politik di media sosial.
Terbaharu, penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai Altimet, menawarkan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menggunakan lagunya.
“Guna je lagu saya, YB. Saya rela,” katanya ringkas di hantaran Twitter miliknya.
Bagaimanapun, Altimet tidak menyatakan secara spesifik tajuk lagu yang ditawarkan kepada Mas Ermieyati.
Namun, umum mengetahui pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, sebuah lagu ciptaan Altimet berjudul "Aduh Malaysia (Hoi Ya Hoi)" sering digunakan oleh pemimpin serta jentera Pakatan Harapan (PH) untuk dijadikan sebagai bahan kempen.
Altimet mencipta lagu itu dengan mengubah lirik asal "Ali Baba dengan 40 Penyamun" dan dilancarkan di pentas politik pada program Rapat Mega PKR 2022 di Ampang.
Di entri Twitternya lagi, Altimet menjelaskan, setiap lagu mempunyai tiga ‘manifestasi’, iaitu apabila lagu itu ditulis atau dicipta, bila lagu itu dirakam atau dipersembahkan, dan apabila lagu itu diperdengar serta dihayati orang ramai.
"Pertama, bila lagu Itu ditulis atau dicipta. Irama dan lirik asal, yang lahir dari idea pencipta. Milik pencipta-pencipta lagu tersebut.
"Dari sini lahirlah satu harta intelek. Dari lagu asal ini, boleh buat macam-macam versi.
"Kedua, bila lagu itu dirakam atau dipersembahkan. Macam-macam versi version boleh datang dari satu lagu.
"Biasanya siapa yang bayar sesuatu rakaman, dialah pemilik versi itu. Sebab itu kalau orang nyanyi satu lagu dengan cara tersendiri dan best, orang cakap ‘you made it your own song’.
"Ketiga, bila lagu tu didengar, dihayati orang, siapa yang suka akan rasa dekat dengan lagu itu, akan keluar dialog seperti 'weh ,lagu kita weh' dan 'OMG that’s my song, girl'," katanya di Twitter.
Malah, katanya, semakin ramai orang rasa dekat dengan lagu itu, semakin lagu itu menjadi milik rakyat.
Justeru, tiga manifestasi melibatkan tiga tahap yang berbeza dan setiap tahap pemegang taruh juga berlainan.
"Inilah multiplier effect daripada kreativiti. Esok-esok ada masa kita cerita pasal industri kreatif," ujarnya.
Untuk rekod, pada Julai tahun lalu, Altimet menang pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang dengan memperoleh sebanyak 743 undian sekali gus mengenepikan pesaing terdekatnya, pelakon dan pengarah, Datuk Hans Isaac.
Pada Jumaat, Mas Ermieyati memohon maaf kepada Amir Jahari kerana menggunakan lagu ciptaannya itu sebagai lagu latar untuk hantaran video semasa berada di Mahkamah Kuala Lumpur susulan pendakwaan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga sedia menurunkan semula hantaran menggunakan lagu berkenaan dan menggantikannya dengan lagu lain seperti lagu nasyid atau lagu penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.