Guna jalan alternatif elak kesesakan di bandar Jertih menjelang Raya

Bernama
Jun 21, 2017 01:17 MYT
beberapa jalan bandar akan ditutup kepada kenderaan dengan pengubahsuaian ke laluan baharu agar tidak menganggu pergerakan kenderaan di jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bahru. - Sumber foto Google Map
Pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kelantan dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan menjelang hari raya ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mereka boleh menggunakan Jalan Pantai dari Kuala Nerus ke Penarik dan melalui Tembila hingga ke Kampung Raja, di sini.
Katanya, pemandu juga boleh menggunakan jalan Bandar Permaisuri dengan melalui Jalan Renek ke Tembila seterusnya ke Kampung Raja.
"Dijangkakan kira-kira 100,000 kenderaan akan melalui bandar Jertih bermula Jumaat ini dan untuk beberapa hari sebelum hari raya. Seperti biasa polis trafik Besut dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Besut (MDB) akan mengendalikan lalu lintas yang masuk ke bandar Jertih dengan membuat pengubahsuaian kepada beberapa jalan bagi melicinkan pergerakan kenderaan.
"Lorong laluan jalan terus akan diwujudkan di persimpangan lampu isyarat berdekatan Masjid Hadhari bagi kenderaan dari Kuala Terengganu dan jalan dua lorong akan diwujudkan di atas Jambatan Jertih menghala ke Kelantan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tambahnya beberapa jalan bandar akan ditutup kepada kenderaan dengan pengubahsuaian ke laluan baharu agar tidak menganggu pergerakan kenderaan di jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bahru. - BERNAMA
#jalan raya #kesesakan #Kuala Terengganu #Supt Mohd Zamri Mohd Rowi