Guna internet secara bijak, elak jadi mangsa penipuan - Saifuddin
Bernama
Mei 17, 2020 04:57 MYT
Mei 17, 2020 04:57 MYT
Penggunaan internet perlulah dilakukan secara bijak dan positif berteraskan keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri dalam membendung masalah penyalahgunaan internet.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun internet dapat memperluaskan pengetahuan dan memudahkan komunikasi dengan sesiapa sahaja dari seluruh dunia serta membuat transaksi dalam talian di hujung jari, namun penggunaannya perlulah dibuat secara berhati-hati.
"Kita hendaklah berhati-hati dan bertanggungjawab dalam penggunaan internet supaya tidak menjadi mangsa penipuan dan buli siber, serta tidak menyebar berita tidak benar yang akan menjejaskan keharmonian negara.
"Klik dengan bijak, tidak pasti, jangan kongsi," katanya dalam ucapan bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) pada Ahad yang disiarkan dalam media sosial beliau.
WTISD disambut pada 17 Mei setiap tahun sempena ulang tahun penubuhan International Telecommunication Union (ITU) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan infrastruktur telekomunikasi negara bagi memastikan masyarakat sentiasa terhubung, berinfomasi dan tiada sesiapa yang tercicir di belakang.
Antara inisiatif kerajaan yang penting ialah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik bagi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
"Dengan adanya infrastruktur telekomunikasi yang berkesan seperti internet, dipacu dengan keupayaan aplikasi ICT pintar, sudah pasti menjadikan aktiviti kehidupan seharian kita menjadi lebih mudah, pantas dan produktif yang akhirnya dapat meningkatkan taraf kualiti sosioekonomi negara," katanya.
Pada tahun ini, tema sambutan WTISD yang ditetapkan oleh ITU ialah 'Connect 2030: ICT for Sustainable Development Goals' yang memberi fokus kepada kemajuan dan kemunculan trend baharu ICT sebagai pemangkin pembangunan pintar dan mampan serta memelihara ekonomi, alam sekitar dan sosial yang mampu menyumbang kepada lima matlamat strategik agenda Connect 2030 iaitu pertumbuhan, keterangkuman, kelestarian, inovasi dan perkongsian.
-- BERNAMA
#ekonomi
#Internet
#kerajaan
#keselamatan
#komunikasi
#mangsa
#media sosial
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#rakyat
#Saifuddin Abdullah