Guna ID cetus pelbagai persoalan

Sinar Harian
Oktober 3, 2023 08:40 MYT
Fuziah sebelum ini berkata, kaedah pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada kumpulan sasar bakal dilaksanakan pada 2024 menggunakan mekanisme ID. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Kaedah pembelian minyak masak peket bersubsidi menggunakan pengenalan diri (ID) khas yang bakal dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun depan disifatkan tidak komprehensif dan mengelirukan.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid menyifatkan idea tersebut menimbulkan pelbagai persoalan selain sukar untuk dilaksanakan.
“Jadi siapa nak kawal di peringkat runcit? Apa yang menghalang pembeli menjual semula pada harga yang lebih tinggi?
“Apa had kelayakan untuk penggunaan ID ini nanti. Adakah mengikut pendapatan? Sekiranya gaji suami dalam golongan berpendapatan tinggi (T20), tapi suruh isteri yang suri rumah atau anak yang beli, macam mana pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh memberitahu kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar yang bakal dilaksanakan pada 2024 akan menggunakan mekanisme ID dan telah disahkan layak.
Baharom turut mempersoalkan kaedah pengenalan ID yang akan digunakan untuk melayakkan golongan terlibat membeli minyak masak peket di kedai runcit.
“ID apa yang akan digunakan? (Sekiranya) ID baharu, berapa jumlah kos yang akan terlibat untuk membangunkan sistem ID tersebut,” soalnya.
Ketika ini kerajaan mengeluarkan 60 juta peket minyak bersubsidi setiap bulan untuk kegunaan orang ramai.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah pula berkata, kerajaan perlu memperincikan mekanisme tersebut.
“Untuk kaedah menggunakan ID, kita masih belum tahu cara atau kaedah yang kerajaan akan laksanakan. Oleh itu kita masih menunggu maklumat lanjut,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, FOMCA menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar dan mahu ia sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Melalui subsidi bersasar, ketirisan minyak masak dapat dibendung dan bekalan juga dapat dijamin,” katanya. - Sinar Harian
#ID #minyak masak peket bersubsidi #kpdn #subsidi bersasar
;