Guna helikopter ambil 'nasi ganja': Polis rakam keterangan 3 individu termasuk juruterbang, Datuk
Bernama
Julai 26, 2021 18:33 MYT
Julai 26, 2021 18:33 MYT
IPOH: Polis Perak mengambil keterangan beberapa individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk bagi membantu siasatan insiden helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini, untuk mengambil bungkusan nasi ganja pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berpangkat Datuk berumur 52 tahun itu antara tiga individu selain juruterbang, 46, dan lelaki membuat pesanan, 62, yang dirakam percakapan oleh pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor hari ini.
"Ketiga-tiga percakapan saksi telah dirakam hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tegasnya, setakat ini, hanya tiga individu itu sahaja yang dirakam percakapan termasuk Datuk berkenaan yang menaiki helikopter pada hari kejadian, namun beliau enggan mendedahkan butiran peribadi kesemua mereka.
Siasatan | Polis kenal pasti individu terlibat isu 'nasi ganja'
Isu berkenaan tular dalam media sosial apabila sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah pelanggan dari ibu negara di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.
Siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan pada Sabtu lepas memaklumkan helikopter Bell 505 dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh pada 9.08 pagi sebelum kembali ke Subang pada 11:02 pagi, seperti difailkan dalam pelan penerbangan.
-- BERNAMA
#helikopter
#nasi ganja nasi kandar
#Ipoh
#Datuk
#polis
#Padang Ipoh
#Ketua Polis Perak
#Mior Faridalathrash Wahid
#keterangan
#Juruterbang