Guna helikopter ambil 'nasi ganja': Individu bergelar Datuk antara dipanggil beri keterangan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 24, 2021 16:34 MYT
Polis telah merakam percakapan pemilik restoran yang menerima tempahan 36 bungkus nasi kandar berkenaan. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Polis telah mengenal pasti beberapa individu termasuk seorang bergelar Datuk berhubung insiden sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini, untuk mengambil tempahan ‘nasi ganja’ di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua individu itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.
Menurutnya, sehingga semalam, pihaknya telah merakam percakapan pemilik restoran yang menerima tempahan 36 bungkus nasi kandar berkenaan.
“Kita telah panggil tauke restoran itu semalam dan lain-lain individu termasuk seorang Datuk akan dipanggil dalam masa terdekat.
“Mereka telah pun dikenal pasti dan akan direkod keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
BACA: Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter
BACA: Guna helikopter ambil 36 bungkus 'nasi ganja': Polis siasat surat kebenaran rentas negeri
Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter
Pada Jumaat, Mior Fariddalathrash berkata, polis akan menyiasat sama ada individu atau syarikat yang menggunakan perkhidmatan helikopter bagi mengambil pesanan nasi kandar itu memiliki surat kebenaran rentas negeri atau sebaliknya.
Menurutnya, siasatan akan dibuka berdasarkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri atau daerah di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 342).
“Kalau mereka tiada kebenaran rentas negeri, jadi akan buka siasatan dan panggil pihak terlibat,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah helikopter Bell 505 dikendalikan sebuah syarikat mendarat di padang Ipoh kira-kira jam 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar dari sebuah restoran yang terkenal dengan menu ‘nasi ganja’.
Difahamkan, tempahan itu dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur.
#nasi ganja #helikopter #Ipoh #Tular #viral #rentas negeri #Datuk #beri keterangan #polis #SOP #PKP #nasi kandar #terkenal
;