Guna helikopter ambil 36 bungkus 'nasi ganja': Polis siasat surat kebenaran rentas negeri
Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2021 16:12 MYT
Julai 23, 2021 16:12 MYT
IPOH: Polis akan menjalankan siasatan samada mereka yang mengambil tempahan ‘nasi ganja’ di sini menggunakan helikopter mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid.
“Kita akan siasat juga sama ada mereka ada surat kebenaran rentas negeri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Mior Faridalatrash mengesahkan sebuah helikopter dikesan berada di Padang Ipoh pada jam 9.55 pagi hingga 10.15 pagi.
“Setelah membuat semakan dengan pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sudah salurkan maklumat tersebut kepada pihak CAAM untuk siasatan lanjut.
Pemilik perniagaan nasi ganja yang enggan namanya disiarkan mengesahkan dia menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sebuah helikopter dipercayai mendarat di Padang Ipoh pada pagi Jumaat untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar popular di bandar raya ini, yang lebih dikenali sebagai 'nasi ganja'.
Kehadiran helikopter yang dipercayai milik sebuah syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai kerana ia terbang rendah di udara sebelum mendarat.
#tempahan nasi ganja
#kebenaran rentas negeri
#nasi kandar
#Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia
#CAAM Ipoh
#surat kebenaran
#Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah
#LTSAS
#Padang Ipoh