Guna fakta elak dipengaruhi maklumat tidak benar
Bernama
September 17, 2021 07:01 MYT
September 17, 2021 07:01 MYT
KUALA LUMPUR: Emosi terlalu gembira, sedih dan benci boleh membuat warga masyarakat cenderung untuk menerima sesuatu fakta tanpa semakan, kata Ketua MyCheck Malaysia Ali Imran Mohd Noordin.
Beliau berkata seseorang harus mengawal emosi dalam menerima sesuatu maklumat bagi mengelak daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak atau menyebarkan fakta yang salah secara tidak sengaja.
"Biasanya orang yang berniat jahat untuk menyebarkan 'berita palsu' akan bermain dengan emosi anda, jadi berhati-hati jika anda berasa sangat gembira, sangat sedih atau sangat benci dengan mesej yang anda terima.
"Semak dahulu maklumat tersebut di saluran yang betul," katanya ketika menjadi tetamu sidang Net Khas anjuran jemputan Persatuan Radio Amatur Malaysia (MARTS) di sini, baru-baru ini.
Sidang yang dianjurkan sempena Hari Demokrasi Antarabangsa dan sambutan Hari Malaysia itu disertai pengguna radio amatur dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan India.
Ali Imran berkata dalam mendapatkan kesahihan sesuatu fakta, semakan maklumat boleh dibuat dengan mengenal pasti sumber sebenar maklumat yang diperolehi, atau merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang.
Menjawab soalan pendengar mengenai bagaimana semakan fakta berupaya menyuburkan demokrasi, Ali Imran berkata warga masyarakat dapat mengelak daripada termakan dengan permainan persepsi dan sentimen yang dimainkan oleh sesetengah pihak.
"Sentimen yang kerap dimainkan adalah mengenai isu agama, bangsa dan strata ekonomi. Jadi kita harus 'tackle' dahulu sesuatu yang menjadi ketakutan dan kerisauan dalam masyarakat (memberi penjelasan yang tepat kepada masyarakat)," katanya.
Mengenai isu 'wartawan media sosial', Ali Imran berkata masyarakat harus digalakkan untuk berkongsi maklumat dengan cara mendidik mereka tentang etika menggunakan Internet.
"Di Malaysia, sumber untuk bagimana mendidik anak-anak menggunakan etika Internet yang baik adalah di laman sesawang Klik Dengan Bijak, satu inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya.
MyCheck Malaysia adalah satu inisiatif semakan fakta dimulakan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang memfokuskan kepada isu-isu yang memberi impak kepada kehidupan masyarakat terutamanya yang tinggal di Malaysia.
-- BERNAMA