Guna demokrasi tukar pemimpin gagal bentuk dasar yang dimahukan - PM

Madiha Abdullah
Februari 19, 2020 00:18 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama pada Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga di Pusat Belia Antarabangsa pada Rabu. - Foto BERNAMA
Rakyat berhak menggunakan proses demokrasi bagi menjatuhkan mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak tidak layak.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menjatuhkan pemimpin yang dilihat gagal menggubal dasar seperti yang dimahukan.
Jelas Dr Mahathir, Pakatan Harapan tidak boleh memberikan jaminan bahawa segala dasar yang ada hari ini akan kekal sekiranya berlaku pertukaran kerajaan dalam pilihanraya akan datang.
"Kita tak boleh jamin satu dasar yang baik itu akan kekal jika berlakunya pertukaran pemerintahan.
"Tetapi sebaik mana pun pemerintah, satu masa kena tukar juga kerana usia sudah lanjut dan tidak boleh bekerja.
"Apabila berlaku pertukaran, itulah risikonya. Tetapi kalau pemimpin baru buat dasar yang tidak, menjadi tanggungjawab rakyat untuk jatuhkan pemimpin itu melalui pilihanraya," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika hadir di sesi dialog dan ucaptama program Malaysia Future Leaders School di Cheras, pada Rabu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata sebagai pemimpin, sifat berani perlu ada dalam diri kerana ia akan menentukan kebolehan seseorang dalam mengharungi cabaran pada masa depan.
"Pemimpin perlu berani dan tunjuk kebolehan tinggi supaya tiada yang mencabar, tidak ada pihak lain yang cuba merebut kedudukan sebagai pemimpin.
"Selain itu, pemimpin juga perlu sentiasa mencari ilmu dan meletakkan seorang model yang boleh dijadikan contoh tauladan untuk dijadikan dalam membentuk nilai kepimpinannya," ujarnya lagi.
#demokrasi #kerajaan #Mahathir Mohamad #Malaysia Future Leaders School #Pakatan Harapan #pemimpin #Perdana Menteri
;