Guna Dato’ Sri palsu, SU Sulit Tengku Mahkota Pahang buat laporan polis
Hasimi Muhamad
Julai 31, 2024 14:43 MYT
Julai 31, 2024 14:43 MYT
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat terhadap seorang lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi yang didakwa menggunakan gelaran 'Dato' Sri' palsu dari Pahang.
Ringkasan AI
- Individu Didakwa Menggunakan Gelaran Palsu: Laporan polis dibuat terhadap individu yang menggunakan gelaran palsu Datuk Seri dari Pahang. Sumber mengesahkan laporan ini dibuat pada 26 Julai lalu.
- Belum Dikurniakan Darjah Kebesaran: Individu tersebut, yang merupakan Lembaga Pengarah syarikat, masih belum dikurniakan secara sah Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).
- Siasatan Oleh JSJK Pahang dan Bukit Aman: Kes ini sedang disiasat oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang dan Bukit Aman. Sumber menegaskan penggunaan gelaran palsu bertentangan dengan undang-undang Negeri Pahang. Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk menghormati titah Sultan Pahang dan menjaga nama baik institusi beraja dan negara.
Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan bahawa laporan tersebut dibuat pada 26 Julai lalu.
Jelas beliau, semakan mendapati individu terbabit yang merupakan ahli lembaga pengarah kepada sebuah syarikat masih belum dikurniakan secara sah Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).
"Bila dia belum dikalungkan darjah kebesaran tersebut, maka kita mengambil berat perkara itu dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Saya difahamkan kes masih disiasat oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang dan Bukit Aman. Hari ini (polis) telah membuat rakaman percakapan dengan pihak penama terbabit," katanya hari ini.
Amir Syaffiq menambah tindakan individu berkenaan menggunakan gelaran palsu adalah bertentangan dengan Seksyen 6 Undang-Undang Negeri Pahang melibatkan Pengisytiharan Gelaran, Pangkat Kemuliaan, Pangkat Kebesaran dan Kurniaan Negeri Pahang 2019.
Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak menghayati titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar penerima darjah kebesaran menjaga nama baik institusi beraja dan negara.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.
Yahaya berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
#Gelaran Datuk Seri palsu
#Istana Pahang laporan polis
#Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
#Bukit Aman
#Sultan Pahang
#Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang