Guna data pendaftaran kenderaan milik golongan sasar, elak ketirisan subsidi diesel - MCW
Bernama
Mei 22, 2024 18:31 MYT
Mei 22, 2024 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel untuk memastikan golongan sasaran menerima manfaatnya memerlukan pelaksanaan teliti dan kawalan ketat bagi mengelakkan ketirisan.
Menurut Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) selain data Pangkalan Data Utama (PADU), kerajaan disaran menggunakan data pendaftaran kenderaan untuk memastikan hanya kenderaan dimiliki golongan B40 dan M40 mendapat subsidi itu.
"Pangkalan data ini harus dikemas kini secara berkala dan diselaraskan dengan agensi-agensi berkaitan atau menggunakan MyKad atau ID kebangsaan untuk memastikan pemilik yang layak sahaja dapat membeli diesel bersubsidi.
"Ini boleh dilakukan dengan menghubungkan pembelian diesel bersubsidi dengan sistem pengenalan digital," menurut MCW dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Implementasi sistem pemantauan berpusat untuk mengawasi penjualan dan penggunaan diesel bersubsidi menerusi teknologi serta digitalisasi seperti teknologi 'blockchain' atau 'blok rantai' juga boleh dimanfaatkan supaya tiada manipulasi transaksi.
"Membangunkan aplikasi mudah alih untuk pengguna mendaftar dan mengesan penggunaan diesel bersubsidi. Aplikasi ini juga boleh memberi maklum balas dan laporan langsung kepada pihak berkuasa," menurut MCW.
Selain itu, perlu ada kerjasama dengan peruncit antaranya memberikan latihan mengenai kaedah mengenal pasti pelanggan yang layak dan memastikan mereka mematuhi peraturan subsidi.
Penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan perlu dilaksanakan termasuk menjalankan audit dan pemeriksaan berkala di stesen minyak dan tempat jualan diesel untuk memastikan tiada penyalahgunaan.
Kerajaan juga perlu menyediakan saluran aduan khas untuk masyarakat melaporkan sebarang ketirisan atau penyelewengan dalam penyaluran subsidi dan melaksanakan kempen kesedaran untuk memberitahu golongan sasaran tentang hak mereka serta cara mendapatkan subsidi diesel.
"Ini juga boleh mengurangkan peluang untuk manipulasi dan penyelewengan oleh pihak ketiga. Mungkin pendaftaran PADU perlu dibuka semula dan boleh didaftarkan pada bila-bila masa," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel bagi pengguna di Semenanjung melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.
Anwar berkata penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun iaitu yang pernah dinikmati oleh kumpulan berkenaan sebelum ini.
-- BERNAMA