Guna 'bot pajak' taktik terbaharu nelayan warga asing rompak hasil laut negara

Nur Fazlizai Ali
Julai 6, 2020 10:55 MYT
MUHAMMAD SUFFI: Hasil perisikan kita mendapati lesen yang dipajak untuk setahun penggunaan kepada nelayan Vietnam ini nilainya tidak kurang daripada RM200,000. -Astro AWANI
Menyamar sebagai bot nelayan tempatan bagi mengelirukan pihak penguat kuasa, itu antara modus operandi terbaharu yang digunakan nelayan asing bagi merompak hasil laut negara.
Kegiatan itu dibongkar Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) susulan penahanan 47 nelayan Vietnam termasuk tekong kira-kira jam 3.30 petang hingga 4.30 petang pada Sabtu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua bot itu dikesan ketika sedang menangkap ikan di empat lokasi berbeza iaitu antara 118 hingga 123 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Menurut Muhammad Suffi, bot nelayan berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada lesen yang sah.
Jelasnya, pihaknya turut mengesan terdapat segelintir pemilik lesen bot warga tempatan yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil pajakan bot mereka kepada nelayan warga asing.
"Hasil perisikan kita mendapati lesen yang dipajak untuk setahun penggunaan kepada nelayan Vietnam ini nilainya tidak kurang daripada RM200,000.
"Kalau ada lima lesen, kali RM200,000 dah RM1 juta. Jadi taukeh ini dengan tidak menggunakan apa, kaedah penangkapan ikan seperti biasa, mereka hanya memajakkan lesen kepada nelayan negara Vietnam," kata Muhammad Suffi.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati hanya empat kru memiliki pasport Vietnam manakala yang lain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua mereka yang berusia di antara 17 dan 57 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia serta Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
Muhammad Suffi berkata pihaknya turut merampas hasil laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.
Katanya, pihak Maritim Malaysia akan menyiasat dan membongkar taktik penyamaran menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan.
#Akta Perikanan 1985 #APMM #Muhammad Suffi Mohd Ramli #nelayan asing #nelayan vietnam #nombor pendaftaran palsu #pajak lesen #tiada lesen sah
;