Guna bas untuk #Himpunan169, Universiti Taylor's batal kontrak Wawasan Sutra

Kohilah Sekaran
September 18, 2015 17:44 MYT
Universiti Taylor's menamatkan kontrak pengusaha bas Wawasan Sutera Travel and Tours kerana menggunakan bas yang memaparkan logo universiti berkenaan untuk membawa penyokong ke Himpunan Rakyat Bersatu. - Gambar Fail
Universiti Taylor's Malaysia menamatkan kontrak pengusaha bas Wawasan Sutera Travel and Tours kerana dilapor menggunakan bas yang memaparkan logo universiti berkenaan untuk membawa penyokong ke Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September 2015.
Perkara itu mendapat perhatian pihak universiti selepas foto penyokong perhimpunan turun dari bas berkenaan mula viral di media sosial, sehingga segelintir pelajar mendesak pihak universiti untuk memberi penjelasan atas insiden itu.
Menerusi satu kenyataan dalam Facebook semalam, pihak Taylor's mengumumkan bahawa kontrak mereka bersama Wawasan Sutera telah ditamatkan.
Gambar dari Facebook Taylor's University
"Pihak pengurusan telah mengkaji semula kontrak dengan pengusaha bas dan mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak, selaras dengan terma dan syarat-syarat, berkuat kuasa hari ini."
Difahamkan, Wawasan Sutera akan meneruskan perkhidmatan dengan Universiti Taylor's sehingga 16 November 2015, atas syarat notis dua bulan untuk penamatan kontrak.
Terdahulu, pihak pengurusan Universiti Taylor's mengeluarkan satu kenyataan pada 16 September yang menjelaskan bahawa pihak mereka tidak menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada penyokong himpunan baju merah.
Gambar dari Facebook Taylor's University
"Kami ingin menegaskan bahawa pengurusan universiti tidak menawarkan perkhidmatan bas untuk tujuan perhimpunan itu serta bas berkenaan tidak digunakan untuk membawa pelajar-pelajar kami ke perhimpunan tersebut.
"Kami kesal dengan penglibatan Universiti Taylor's secara tidak sengaja dalam acara ini.”
#tamat #taylor's #universiti
;