Guna bahasa mudah tanpa ayat bombastik!

Hilal Azmi
September 29, 2018 11:07 MYT
FATIMAH: Gunakan bahasa yang mudah difahami untuk komunikasi yang efektif, bukan untuk tunjuk hebat di pentas dunia. --fotoBERNAMA
Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi yang ke-73 (UNGA) terus menjadi bualan hangat di media sosial.
Ramai yang teruja dan bangga menjadi rakyat Malaysia sebaik Dr Mahathir selesai menyampaikan ucapannya pada Sesi Perbahasan Umum UNGA itu.
Akan tetapi, ada banyak perkara boleh dipelajari dan dimanfaatkan bagi memastikan ucapan ikonik sebegini tidak terhenti dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia itu semata-mata.
Untuk membuka mata dunia dan memastikan mesej sampai, seorang pemimpin atau mana-mana individu tidak perlu menggunakan ayat yang sukar.
Bagi perunding komunikasi dan media, Fatimah Abu Bakar, penggunaan Bahasa Inggeris dengan ayat mudah tanpa perkataan bombastik menjadikan setiap mesej yang cuba disampaikan senang difahami serta tepat kepada sasaran.
"Saya percaya beliau (Dr Mahathir) tulis sendiri ucapannya.
"Penggunaan bahasa yang mudah tanpa perkataan bombastik menyerlahkan personaliti beliau yang sentiasa bersopan-santun ketika berbicara seperti yang diajar ibunya sebelum ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Fatimah yang banyak melakukan rundingan dan latihan pengucapan awam di Salt Media, ucapan Perdana Menteri semalam wajar dijadikan contoh terbaik kepada pemimpin muda Malaysia ketika berada di pentas antarabangsa.
"Gunakan bahasa yang mudah difahami untuk komunikasi yang efektif, bukan untuk tunjuk hebat.
"Dr Mahathir sentiasa buat kajian mendalam sebelum berucap, malah percakapannya sentiasa tenang, penuh semangat dan ikhlas," katanya lagi.
Pesan Fatimah, jika rasa gugup sebelum berucap, pastikan sebutan tepat.
"Tak payah nak slang bunyi macam Mak Salleh, tetapi sepatah pun kita tak faham. Tun is so clear and natural," pesannya lagi.
Dalam ucapan Dr Mahathir, antara isu kritikal yang disentuh oleh beliau adalah isu Palestin dan cengkaman kuasa Israel yang membawa pelbagai masalah sedunia.
Isu ini sentiasa menjadi ratib perjuangan beliau sejak dahulu dan terbaharu, isu Rohingya turut sama disentuh dalam ucapannya.
Selepas sahaja selesai memberi ucapan, Dr Mahathir terus dikerumun bagai bintang popular di belakang pentas.
#Astro Awani #Mahathir Mohamad #media sosial #PBB #tips ucapan di PBB
;