Guna bahan lestari untuk rumah mangsa banjir - Fadillah
Bernama
Mac 16, 2015 16:56 MYT
Mac 16, 2015 16:56 MYT
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyarankan penggunaan panel komposit poliuretana yang ringan untuk membina rumah baharu mangsa banjir.
"Teknologi baharu ini akan menjimatkan masa pembinaan sebanyak 35 peratus dengan konkrit pratuang," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan prototaip rumah oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Bayer MaterialScience, di sini hari ini.
Fadillah berkata projek yang merupakan hasil kerjasama CIDB dan Bayer MaterialScience itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik yang selesa untuk rakyat.
"Saya gembira melihat kerjasama yang kukuh antara kedua-dua pihak dalam menangani isu kekurangan perumahan," katanya.
Fadillah juga menggesa CIDB dan Bayer MaterialScience mempromosikan penggunaan teknologi baharu itu di kawasan terjejas banjir.
CIDB berkata panel poliuretana mempunyai ciri-ciri penebat yang bagus, menjadikan rumah lebih cekap tenaga sekali gus menjimatkan bil elektrik selain mengurangkan kesan karbon.