Guna air sabun bantu kanak-kanak tersepit mesin basuh

Radhi Muslim
November 2, 2019 12:21 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang, mangsa Afiah Faihah Zulkifli, tiga tahun, dilaporkan tersepit di bahagian pengering mesin basuh terbabit. - Foto JBPM
Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan sakit lebih 20 minit selepas tersepit dalam sebuah mesin basuh dalam kejadian di Taman Pandan, dekat sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa Afiah Faihah Zulkifli, tiga tahun, dilaporkan tersepit di bahagian pengering mesin basuh terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran (BBP) Beluran, Rastam Keladi, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 petang sebelum menghantar lapan anggota bomba ke lokasi dengan sebuah jentera penyelamat.
Menurutnya, sebaik anggota bomba tiba, seorang budak perempuan dilihat tersepit di dalam mesin basuh.
"Sebelum kejadian, mangsa memanjat dan naik ke bahagian atas mesin basuh menggunakan kerusi lalu masuk ke bahagian pengering dan tersangkut.
"Anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan air sabun cucian kain untuk melicinkan badan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Rastam, selepas kira-kira 20 minit mangsa berjaya dikeluarkan.
"Budak perempuan itu tidak mengalami kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.16 petang," katanya.
#Beluran #bomba #Kanak-kanak #mangsa #operasi #Sabah #tersepit #tersepit mesin basuh
;