Guna AI hasilkan kandungan dilindungi akta hak cipta, boleh dikenakan tindakan - MyIPO

Bernama
Februari 15, 2024 23:54 MYT
Mana-mana individu yang menghasilkan sesuatu ciptaan atau kandungan dengan menggunakan aplikasi teknologi AI, menyamai kandungan yang telah didaftar di bawah harta intelek di negara ini masih boleh dikenakan tindakan. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Mana-mana individu yang menghasilkan sesuatu ciptaan atau kandungan dengan menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI), menyamai kandungan yang telah didaftar di bawah harta intelek di negara ini masih boleh dikenakan tindakan.
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata hal ini kerana semua harta intelek di negara ini dilindungi di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.
"Sebagai contoh nak mencipta lagu... keluar lirik yang dikatakan ambil daripada AI, namun lirik itu sudah termaktub dalam hak cipta yang telah didaftarkan oleh penerbit sebelum ini, jadi (perbuatan itu) tetap salah," katanya.
Beliau ditemui pada majlis temu mesra bersama media sempena Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN2024) di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Mohd Zuhan berkata MyIPO akan membawa isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) khas penggunaan AI pada persidangan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) di Geneva, Switzerland, Julai depan.
Menurut Mohd Zuhan antara perkara yang dibangkitkan termasuk sama ada mereka yang menggunakan teknologi AI boleh didakwa atau dibiarkan begitu sahaja jika dikesan melakukan perbuatan membabitkan hak cipta.
Dalam pada itu, katanya MyIPO bakal terlibat dengan penubuhan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan Pertama Negara menerusi Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebenarnya orang yang menggunakan AI ini dia perlu tahu arahan dalam AI tersebut, oleh itu kita akan membuat satu libat urus dengan UTM dalam masa terdekat berkaitan dengan penubuhan Fakulti AI.
"Insya-Allah kita akan menjadi sebahagian daripada mereka untuk memastikan elemen baharu inovasi dan perincian yang dibuat di bawah fakulti AI itu nanti, diselarikan dengan MyIPO," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Hak Cipta #kecerdasan buatan #guna AI #MyIPO
;