Gugur menteri prestasi buruk, perlu atau tidak? Lebih kepada mahu atau tidak - Dialog Tiga Penjuru 8.30 malam ini
Israr Khalid
Januari 6, 2022 17:43 MYT
Januari 6, 2022 17:43 MYT
KUALA LUMPUR: Bencana banjir buruk yang melanda negara baru-baru ini telah melucutkan selubung yang selama ini menyembunyikan kebobrokan mereka yang menggalas tanggungjawab untuk bukan sekadar mentadbir negara ini, tetapi dengan memastikan segala isinya dalam keadaan sejahtera.
Isi yang dimaksudnya di sini tidak hanya rakyatnya, tetapi alam semua jadinya. Pokok, sungai, haiwan, udara, air - segala-galanya.
Ya, kali ini hujannya luar biasa. Lebatnya tak terduga, banyaknya tak terjangka, sehingga menyebabkan negeri-negeri yang bukan ‘mangsa banjir tahunan’ pun turut terkesan. Bukan sedikit, tapi parah dibuatnya.
Namun ini bukan kali pertama negara dilanda banjir besar, sudahlah Pantai Timur memang sudah boleh dikata hampir ‘lali’ dengan bencana ini. Kali terakhir banjir dahsyat seumpama ini adalah pada 1971, 51 tahun yang lalu.
Lima dekad sejak itu, adakah kita menganggap yang banjir tidak akan berlaku lagi? Negara semakin maju, bangunan tinggi semakin banyak, teknologi semakin canggih, dan mengetahui bahawa Malaysia antara negara yang tinggi taburan hujannya, mengapa kita seakan tidak punyai pengetahuan dan kesediaan untuk berdepan kemungkinan yang jelas ini?
Akibatnya yang merana adalah rakyat negara ini sendiri, yang kurang bernasib baik tinggal di kawasan-kawasan rendah dan tidak dibina dengan segala keperluan lestari yang lengkap dengan sistem perparitan, pengairan dan saliran yang baik.
Rumah-rumah musnah bukan kerana dinaiki air sahaja, tetapi arus deras yang turut membawa bersama batang-batang balak yang datang entah dari mana. Mereka hilang segalanya, harta benda dan juga nyawa orang tercinta.
Sudahlah begitu, barisan kepimpinan negara seolah-olah pegun entah kenapa tatkala rakyatnya sedang tenggelam. Mereka hanya tidak terus hanyut dan pergi kerana adanya rakyat yang lain, yang pantas menghulurkan tangan untuk membantu sedaya mereka.
Kesilapan kita selama ini pun terlihat, terlalu bersandarkan harapan kepada orang lain. Kini, kita sedar bahawa hanya kita sendirilah yang mampu menyelamatkan diri kita daripada musibah.
Namun setakat mana sahaja kemampuan kita rakyat marhaen ini? Kita tiada kuasa, tiada aset, tetapi mereka yang memiliki semua itu seakan tidak berfungsi dengan sebaik-baiknya tatkala kita amat memerlukan tangan mereka dihulur.
Maka timbul pertanyaan adakah kita masih memerlukan mereka? Kita masih perlukan mereka, manusia yang bertamadun harus hidup bersistem, tetapi apakah sistem kehidupan kita diterajui oleh mereka yang benar-benar layak dan dapat memimpin kita dengan langkah yang sejahtera?
Nyata sesuatu perlu dilakukan untuk memperbetulkan sistem yang sudah jelas terlihat kecacamarbaannya. Maka perlu atau tidak perlu ditukar menteri yang berprestasi buruk itu bukan lagi persoalan. Memang amat perlu.
Namun melihat kepada senario dan keadaan politik semasa, pasti parti pemerintah sukar untuk berbuat demikian untuk memastikan kestabilan dapat terus dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang tidak lama lagi akan tiba.
Sukar, tetapi tidak mustahil. Maka itulah persoalannya, berani atau tidak berani, boleh atau tidak boleh, mahu atau tidak mahu?
Andai jawapannya tetap tidak, apakah usaha lain yang boleh dibuat supaya ‘menang-menang’ itu ada, antara kepimpinan dengan rakyat? Lebih penting bukan hanya untuk sementara, tetapi biar jadi asas untuk pemulihan sistem yang berkekalan buat selamanya.
Malam ini jam 8.30 di pentas Dialog Tiga Penjuru, kita bincangkan bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; ADUN Merlimau, Dr. Akmal Saleh; dan Pengasas Bersama UNDI18, Qyira Yusri.