Gudang tidak berlesen simpan beras bersubsidi bernilai RM2.1 juta dirampas
Bernama
Mei 22, 2024 13:03 MYT
Mei 22, 2024 13:03 MYT
PUTRAJAYA: Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merampas 645.75 tan metrik beras bersubsidi bernilai RM2.1 juta dalam satu operasi di sebuah gudang di Sibu, Sarawak minggu lepas.
KPKM dalam kenyataan hari ini berkata rampasan dibuat dalam Op Taring Bravo 3 yang dilaksanakan penguatkuasa KPB bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) pada 15 dan 16 Mei.
Menurutnya pelbagai gred beras termasuk beras putih import (BPI) dirampas dalam operasi berkenaan, dan premis perniagaan itu pula didapati tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
"KPB telah menyita stok beras itu berserta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624.
"Siasatan turut dijalankan terhadap syarikat berkenaan, untuk melihat sama ada ia terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu beras putih import," menurut kenyataan itu.
Mulai 5 Oktober 2023, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan subsidi BPI RM950 setiap tan metrik peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit adalah tidak melebihi RM31 bagi tiap satu kampit bagi 10kilogram.
KPKM berkata tindakan menyeleweng barang bersubsidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang membawa kerugian kepada negara dan mengakibatkan rakyat tidak dapat membeli barangan itu.
"KPB sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan negara dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mengekang pihak yang cuba menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak termasuk cubaan membawa keluar beras melintasi sempadan negara," menurut kenyataan itu.
"Orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras," menurut KPKM.
Aduan atau maklumat boleh disalurkan menerusi Portal Aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau hubungi Ibu Pejabat KPB, Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183.
-- BERNAMA
#Kawal Selia Padi dan Beras
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#rampasan beras bersubsidi
#Sibu
#Sarawak