Gudang terbakar: Operasi pemadaman diteruskan selepas 10 jam

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 26, 2021 09:02 MYT
Menurut bomba, tiada mangsa dilaporkan berada di gudang berkenaan sejak kebakaran berlaku malam tadi. - Foto ihsan JBPM Kedah
BALING: Operasi pemadaman api kebakaran melibatkan sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Kawasan Perindustrian Baling yang terbakar malam tadi masih dilakukan setakat ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sehingga jam 8.30 pagi tadi, operasi masih dilakukan di kawasan gudang yang terbakar itu selepas lebih 10 jam.
Beliau berkata, keadaan ketika ini sudah terkawal namun masih terdapat lagi nyalaan bara api di beberapa tempat.
"Operasi pagi ini akan diuruskan menggunakan jengkaut untuk proses overhaul.
"Setakat ini jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dan Kulim Hi Tech masih berada di lokasi untuk mengawal kebakaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, tiada mangsa dilaporkan berada di gudang berkenaan sejak kebakaran berlaku malam tadi.
BACA: Gudang penyimpanan barang di Baling terbakar
Beliau berkata, operasi dilakukan membabitkan pasukan Bomba dari BBP Baling, BBP Amanjaya dan bantuan dari BBP Kulim Hi Tech, BBP Pengkalan Hulu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil, Kampung Lalang dan Kuala Pegang, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran bangunan itu melalui bilik kawalan BBP Baling di alamat Taman Anggerik, di sini.
"Kebakaran membabitkan gudang Kelas “A” yang musnah hampir 80 peratus membabitkan barangan simpanan yang dalam gudang terbabit," katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, api dapat dikawal pada jam 10.54 malam tadi dan kerja pemadaman serta overhaul masih dilakukan di lokasi kejadian sehingga kini bagi memastikan tiada lagi punca api dan asap.
Semalam Astro AWANI melaporkan sebuah gudang menyimpan barangan runcit dilaporkan terbakar dan operasi pemadaman dilakukan selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 malam sebaik pasukan bomba dari BBP Baling dan Amanjaya tiba di lokasi.
#gudang terbakar #operasi pemadaman #Baling #Mohamadul Ehsan Mohd Zain
;