Gudang simpan perabot untuk sumbangan terbakar
Adie Sufian Zulkefli
November 1, 2021 14:51 MYT
November 1, 2021 14:51 MYT
SIK: Sebuah gudang yang menyimpan perabot untuk disumbangkan kepada orang awam di Tasik Beris di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada pukul 7.19 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik tiba di lokasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jeniang.
"Setibanya di tempat kejadian didapati api sedang marak membakar perabot yang terdapat di dalam gudang kelas A.
"Penilaian awal kemusnahan kebakaran pada bahagian gudang adalah hampir 60 peratus yang membabitkan barangan perabot yang akan disumbangkan kepada orang awam yang disimpan disitu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.21 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang di lakukan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi punca api di lokasi.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.