Gudang simpan bahan kimia di Sungai Bakap terbakar
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 6, 2022 14:09 MYT
Mei 6, 2022 14:09 MYT
SUNGAI BAKAP: Sebuah gudang penyimpanan bahan kimia milik GB Chemical di Kawasan Perindustrian Valdor , Sungai Bakap musnah dalam kebakaran pagi Jumaat menyebabkan asap tebal kelihatan di kawasan berdekatan.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 5.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jentera Bomba dari Balai Bomba Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu empat buah jentera dari Balai Bomba Nibong Tebal, Perai, Batu Kawan dan Bandar Perda serta Pasukan Bomba Sukarela bagi memadam kebakaran.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan gudang penyimpanan cecair mudah terbakar.
“Kebakaran melibatkan keluasan kawasan 200 x 200 kaki persegi, iaitu tiga bahagian struktur tempat penyimpanan dengan anggaran kebakaran sebanyak 70 peratus.
“Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba Perai turut terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan ” kata kenyataan tersebut.
Punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.