Gudang proses, simpan racun tikus musnah terbakar di Bukit Rotan
Umavathi Ramayah
Januari 5, 2025 12:15 MYT
Januari 5, 2025 12:15 MYT
KUALA SELANGOR: Sebuah gudang memproses dan menyimpan racun tikus musnah hampir 80 peratus akibat kebakaran di Jalan Bukit Rotan, Bestari Jaya, di sini, pagi Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 4.14 pagi.
Katanya, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Kuala Selangor, Batu Arang, Kapar, Klang Utara, Rawang dan Sungai Besar bersama lapan jentera segera dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, kebakaran itu melibatkan gudang yang berkeluasan 17 x 4.6 meter persegi.
"Kita berjaya mengawal api pada jam 5.39 pagi sementara kerja-kerja overhaul serta operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.30 pagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Ahmad Mukhlis memberitahu, kejadian itu tidak melibatkan mangsa.
Jelasnya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.