Gudang penyimpanan barang di Baling terbakar

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 25, 2021 00:53 MYT
Sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Taman Anggerik, dekat sini musnah terbakar, pada Isnin. - Foto ihsan bomba
BALING: Sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Taman Anggerik, dekat sini musnah terbakar, pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dan Amanjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba api sedang marak dan operasi pemadaman dilakukan dengan bantuan BBP Kulim Hi Tech dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Kerja mengalami kesukaran akibat tekanan air rendah dan dua water tanker dari BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Amanjaya terpaksa dikerah ke lokasi kebakaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kerja pemadaman masih dilakukan bagi memastikan tiada bara api di bawah timbunan barangan yang terdapat di dalam gudang terbabit.
#gudang penyimpanan barang #Baling #terbakar #JBPM Kedah
;