Gudang makanan di Jelutong musnah dijilat api
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 4, 2023 22:36 MYT
Februari 4, 2023 22:36 MYT
GEORGE TOWN: Sebuah gudang menyimpan bekalan makanan di Lorong Perak, Jelutong, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran malam ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.28 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak, kebakaran melibatkan sebuah gudang simpanan makanan (kelas B) dengan anggaran keluasan 40 x 50 kaki persegi.
"Peratusan kebakaran keseluruhan dianggarkan 80 peratus dan api telah dapat dikawal pada jam 8.57 malam," kata kenyataan tersebut.
Setakat ini, kerja-kerja pengawalan dan pemadaman dijalankan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Lebuh Pantai, dan Paya Terubong .
Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berdekatan.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, dan setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.