Gudang Elrah Exclusive terbakar
Sinar Harian
Januari 11, 2023 10:40 MYT
Januari 11, 2023 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah gudang milik Elrah Exclusive di Jalan Kepong, Batu 6 1/2 di sini dilaporkan terbakar pada Rabu.
Komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Nuzi Mohamed berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.41 pagi.
"Seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Nuzi berkata, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan kotak yang berada di dalam gudang berkenaan, berkeluasan 4.8 x 4.8 meter persegi.
"Kemusnahan kebakaran dianggarkan 30 peratus manakala seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan mengalami sesak nafas.
"Mangsa diberikan rawatan oleh pasukan perubatan daripada Hospital Selayang dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya. - Sinar Harian