Gudang barangan elektrik musnah dijilat api

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 16, 2021 05:32 MYT
Peratusan kemusnahan dianggarkan lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan bangunan terbabit. - Foto ihsan JBPM
BUKIT MERTAJAM: Sebuah gudang penyimpanan barangan elektrik Wah Lee di Jalan Rozhan , Bukit Mertajam, Pulau Pinang musnah dijilat api dalam kebakaran malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira kira jam 9.28 malam.
Tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Bandar Perda dan Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
Sebaik tiba dilokasi kejadian anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah gudang dengan anggaran keluasan 300 x 100 kaki.
"Api marak, dan peratusan kemusnahan dianggarkan lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan bangunan terbabit.
"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat, dan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman telah dijalankan, operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela berhampiran," katanya dalam kenyataan tersebut.
#terbakar #bomba #gudang #musnah #barangan elektrik
;