Gubal segera undang-undang gangguan seksual di tempat kerja - Wanita PKR
Astro Awani
Januari 19, 2019 21:55 MYT
Januari 19, 2019 21:55 MYT
Wanita PKR akan mengusulkan kepada kerajaan agar menggubal undang-undang berkaitan ganguan seksual di tempat kerja dengan kadar segera.
Ketuanya, Haniza Mohamed Talha berkata penggubalan itu penting berikutan negara tidak mempunyai undang-undang berkaitan gangguan seksual, sebaliknya hanya mengikut garis panduan yang tidak semestinya dipatuhi.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan wujudnya ketidakadilan di pihak wanita itu sendiri .
"Untuk segera menggubal Akta Gangguan Seksual di tempat kerja, sebab kita lihat kebelakangan ini wanita menderita di tempat kerja, jadi tindakan undang-undang sukar diambil kerana tak ada akta, kita hanya ada garis panduan.
"Jadi sebenarnya mereka ada pilihan untuk megnenakan tindakan disiplin atau tidak. Begitu juga di sektor swasta, tidak ada, hanya guideline (garis panduan) sahaja. Ini membuatkan orang perempuan alami tekanan dan terpaksa hadapi gangguan.
"Harap menteri berkaitan ambil perharian," katanya selepas merasmikan majlis Konvensyen Wanita Keadilan Zon Utara di George Town pada Sabtu.
Selain itu juga katanya, antara fokus wanita PKR dalam usaha menjaga kebajikan dan memperkasakan wanita di negara ini adalah dengan memfokus kepada isu jurang gaji berbeza antara pekerja lelaki dan wanita.
Katanya, perkara itu perlu diperbetulkan segera agar lebih banyak peluang dibuka kepada wanita untuk bekerja mahupun dinaikkan pangkat.
Pada masa sama, Haniza berkata sudah tiba masanya untuk PKR memberi kepercayaan kepada wanita untuk terus memegang jawatan di dalam kerajaan dan juga parti.
Bagi tujuan itu, pihaknya akan menggilap bakat baharu bagi kepemimpinan wanita dalam kalangan anak muda yang boleh dilakukan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan 'Girls to Leaders'.