Gubal dasar tetap paras pendapatan mampu sara hidup - MPMMK
Astro Awani
Disember 14, 2019 18:18 MYT
Disember 14, 2019 18:18 MYT
Kerajaan disaran menggubal dasar yang lebih baik dan tegas bagi menetapkan paras pendapatan mampu sara hidup untuk semua golongan pekerja di negara ini.
Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, langkah itu perlu segera dilakukan kerana masih ramai golongan pekerja terutama di sektor swasta yang menerima gaji kurang daripada paras gaji minimum yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1,100.
"Kerajaan mempunyai kuasa mengeluarkan perintah dan perlu tegas dengan perintah dikeluarkan. Jika terdapat majikan gagal mematuhinya, tindakan tegas perlu diambil demi kebajikan pekerja di negara ini.
"Mengikut Seksyen 25(1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), Majlis Perundingan Gaji Negara hendaklah mengkaji semula perintah gaji minimum sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.
"Kadar ini (gaji minimum) perlu disemak semula supaya ia mengikut kepada kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat ketika ini. Sebagai contohnya, jika gaji RM1,500 sebulan, cukupkah untuk berbelanja RM50 sebulan? Mahu makan apa?" soalnya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Penyeragaman gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Pada 5 September 2018, kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak ditetapkan sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Jumlah itu dibantah sesetengah pihak kerana didakwa terlalu rendah dan menuntut kerajaan menilai kembali pelaksanaan kenaikan gaji selaras dengan keperluan semasa.
Akhirnya, penetapan kadar baharu kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 diumumkan dan turut berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.
Syed Mohammad Faiz berkata, isu berhubung tangga gaji yang rendah begitu mendesak golongan pekerja kini ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup disebabkan harga barang yang semakin meningkat.
"Saya ambil contoh Kajian Panduan Pendapatan Asia Hays 2018, kajian itu mendapati sebanyak 62 peratus pekerja di Malaysia tidak gembira dengan tahap gaji semasa mereka dan mengharapkan gaji yang lebih tinggi," jelasnya.
Tegasnya, kerajaan juga diminta tidak menjadi 'budak suruhan' kepada pihak majikan yang kononnya tidak boleh membayar gaji tinggi dengan memberi alasan tidak untung berniaga.
"Itu merupakan bukti cukup jelas yang mana kerajaan perlu menggubal dasar baharu bagi menetapkan paras pendapatan mampu sara hidup," katanya.
Beliau mempersoalkan, dengan pendapatan yang rendah, bagaimana golongan pekerja di negara ini hendak menyara kehidupan diri dan keluarga mereka secara bermaruah.
"Akibat gaji rendah, ada antara golongan pekerja terpaksa meminjam daripada ah long dan ada antara mereka yang terlibat dengan kes jenayah disebabkan desakan hidup.
"Jika ada anak sebagai tanggungan, beban lebih berat lagi untuk pekerja dan jika hendak buat dua atau tiga kerja seperti disarankan, nanti isteri dan anak-anak pula terabai," katanya.
Dalam pada itu katanya, terdapat juga golongan majikan bertindak menggajikan pekerja asing yang lebih mudah untuk diperas dan dibuli demi kepentingan mereka.
"Demi membayar gaji rendah, majikan ini sanggup melakukan apa sahaja. Ambil pekerja asing seperti orang pelarian Rohingya dan bayar gaji murah, kadang-kadang ada kes majikan yang langsung tidak membayar gaji," katanya.
Jelasnya, bagi menyelesaikan isu berkenaan, MPMMK juga akan menghantar kertas cadangan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya menggubal dasar baharu yang menetapkan paras pendapatan mampu sara hidup demi kehidupan bermaruah golongan berkenaan.
#Asia
#kerajaan
#Lim Guan Eng
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Melayu
#menteri
#MPMMK
#Pakatan Harapan
#pilihan raya
#Rohingya