Gubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap, pastikan Kerajaan kekal hingga hujung penggal - Penganalisis

Irfan Faruqi
Januari 11, 2024 22:35 MYT
Chin Huat berkata Akta Parlimen Berpenggal Tetap akan memastikan tiada lagi permainan Akuan Bersumpah (SD) untuk mengambil alih Putrajaya. - foto/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu digubal dan diluluskan untuk menghentikan sebarang polemik mengenai perubahan tampuk pentadbiran Kerajaan.
Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat berkata, undang-undang tersebut akan memastikan tiada lagi permainan Akuan Bersumpah (SD) yang kononnya cukup jumlah untuk mengambil alih Putrajaya.
“Kita boleh hentikan mainan Akuan Bersumpah (SD) dengan adakan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap dan definisikan maksud 'hilang majoriti'.
“Kita boleh tetapkan tiga perkara secara asas iaitu lulus usul tidak percaya, gagal usul percaya atau tewas usul belanjawan. Dalam keadaan-keadaan ini, Kerajaan boleh dikatakan sebagai hilang majoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Gubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap, pastikan Kerajaan kekal hingga hujung penggal - Penganalisis
Chin Huat menjelaskan, sekiranya Akta ini diluluskan, maka tiada sebarang perubahan kerajaan dan Pilihan Raya Umum boleh berlaku sepanjang tempoh penggal Parlimen ke-15. Penggal ini hanya akan berakhir pada 18 Disember 2027.
Pada masa sama, Akta ini tidak mengubah sebarang kuasa budibicara Yang Dipertuan Agong selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.
“Apakah dua keadaan yang membolehkan pembubaran awal? Pertama, Kerajaan hilang keyakinan.
“Kedua, dua pertiga daripada ahli Parlimen bersetuju pilihan raya awal perlu diadakan, maka Perdana Menteri boleh menghadap Yang Dipertuan Agong untuk mendapatkan perkenan,” jelasnya.
Dialog Tiga Penjuru: Hanya ada satu ‘langkah’
#Parlimen #Perdana Menteri #Perlembagaan Persekutuan #pilihan raya umum #Dialog Tiga Penjuru
;