Gubal akta khusus Jalur Gemilang dan bendera negeri - Aziz Bari
Aida Aziz
Ogos 23, 2019 12:35 MYT
Ogos 23, 2019 12:35 MYT
Exco Kerajaan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari, hari ini mencadangkan agar Parlimen menggubal satu akta khusus untuk Jalur Gemilang dan juga bendera setiap negeri.
Naib Pengerusi DAP Perak itu berpendapat, akta yang dicadangkan itu boleh menjelaskan mengenai pemasangan bendera, termasuk bentuk, warna dan cara memasangnya.
Katanya, langkah itu perlu bagi mengelakkan daripada isu remeh-temeh terus dibangkitkan dan dipolitikkan oleh pihak tertentu.
"Saya mencadangkan pihak Kerajaan membawa satu rang undang-undang di Parlimen yang secara khusus menangani Jalur Gemilang.
"Ada yang memberi respon kepada saya beberapa peruntukan undang-undang yang ada, tetapi saya fikir undang-undang itu tidak jelas dan bercerai-cerai.
"Dengan perkembangan yang berlaku ini, akta khas di Parlimen (perlu) dibentangkan, (menerangkan) apa warnanya, bagaimana nak pasang dan tindakan-tindakan yang boleh dijenayahkan seperti provokasi, biadap dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Katanya, bagi bendera negeri-negeri, ia perlu dibawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja kerana melibatkan kedudukan dan hak negeri.
Sementara itu, Abdul Aziz turut mengulas kecaman yang berbangkit di media sosial berhubung kenyataannya mengenai isu Jalur Gemilang pada Khamis.
Katanya, perkara itu berlaku akibat kekeliruan dan dia juga mendakwa kenyataannya disalahertikan.
"Kenyataan saya telah di-'cut and paste' ataupun diambil di luar konteks. Saya mengatakan bahawa, apa kena mengena pasang bendera terbalik dengan menghina atau derhaka kepada Yang Dipertuan Agong?
"Itu soalan saya sebagai respon.
"Keduanya, saya katakan kita jangan menyusahkan polis dengan laporan seperti ini, yang saya fikir, asasnya agak kabur. Saya tak suruh pun pasang bendera terbalik," katanya lagi.
Semalam, Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu kesalahan.
Dia menganggap isu berkenaan sebagai kecil dan terpencil, tetapi menjadi panas apabila disebarkan menerusi media sosial.