Gubal akta baharu gaji minimum RM3,000 untuk graduan sarjana muda - Sivaraj

Astro Awani
April 4, 2023 18:20 MYT
Sivaraj berkata, perlu ada inisiatif yang lebih utuh untuk meningkatkan pendapatan rakyat, terutamanya kepada anak-anak muda. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menggubal satu akta baharu yang menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk graduan ijazah sarjana muda.
Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata, ketetapan itu perlu sebagai usaha untuk menangani kos sara hidup yang bukan hanya dilihat dari sudut mengawal selia harga barangan semata-mata, tetapi turut mengambil kira keadaan sosial semasa.
"Kerajaan tidak boleh menyalahkan para graduan. Mereka bukan ada pilihan selain menerima tawaran pekerjaan yang sedia ada.
"Justeru, saya menggesa kerajaan agar menggubal satu akta baharu yang menetapkan gaji minimum khas buat para graduan sarjana muda, dalam masa terdekat," katanya di Dewan Negara di sini, pada Selasa.
Pada masa sama, Sivaraj yang juga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan dalam Belanjawan 2023 untuk mengimbangi dan mengawal harga barangan.
"Namun saya berpendapat kerajaan juga perlu ada inisiatif yang lebih utuh untuk meningkatkan pendapatan rakyat, terutamanya kepada anak-anak muda,” katanya.
Memetik data Jabatan Statistik Negara pada 2021, beliau memberitahu, jumlah graduan di Malaysia mencecah 5.61 juta orang atau 22 peratus tenaga kerja negara.
“Gaji purata seseorang graduan menjunam sebanyak 10.6 peratus, dari RM5,020 ke RM4,489 sebulan pada tahun 2020 manakala gaji median pula menjunam sebanyak 11.3 peratus, dari RM4,300 kepada RM3,796 sebulan pada tahun yang sama.
"Saya sendiri mula bekerja sekitar tahun 2003, hampir 20 tahun lepas. Ketika itu, gaji untuk graduan sarjana muda adalah kira-kira RM1,600.
"Selepas 20 tahun, saya melihat graduan sarjana muda masih diberi antara RM1,800 dan RM2,000 sebulan, tidak menyaksikan sebarang perubahan ketara," jelasnya,
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan majikan atau pemain industri untuk memberi gaji minimum RM3,000 sebulan untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata graduan TVET adalah tenaga kerja mahir dan bukannya pekerja daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
#gaji minimum #graduan sarjana muda #Dewan Negara #Sivaraj Chandran
;