Guan Eng tinggalkan SPRM selepas tujuh jam beri keterangan

Wan Syamsul Amly
Julai 25, 2020 19:51 MYT
Lim Guan Eng keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas memberi keterangan berhubung siasatan mengenai kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. - BERNAMA
Selepas tujuh jam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selesai memberi keterangan kali kedua berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Guan Eng meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7.40 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas tiba di sana pada pukul 12.40 tengah hari, dan dijangka akan menyambung keterangannya pada Ahad (esok) jam 11 pagi.
Bagaimanapun Setiausaha Agong DAP itu serta peguamnya enggan memberi sebarang komen kepada media yang menunggunya sejak pagi di lobi utama.
Terdahulu, mengikut jadual asal, Guan Eng sepatutnya tiba pada pukul 10 pagi namun kenderaannya mengalami masalah tayar pancit yang menjadi punca kelewatan.
Guan Eng Rabu lalu hadir kali pertama ke SPRM sebagai saksi bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang.
Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.
Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.
Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.
#bekas Menteri Kewangan #Chow Kon Yeow #Lim Guan Eng #projek pembinaan terowong dasar laut #pulau pinang #RSN Rayer #Setiausaha Agong DAP #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;