Guan Eng tinggalkan SPRM selepas lapan jam beri keterangan
Wan Syamsul Amly
Julai 26, 2020 19:00 MYT
Julai 26, 2020 19:00 MYT
Selepas lapan jam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selesai memberi keterangan kali ketiga berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Guan Eng meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas tiba di sana pada pukul 10.40 pagi.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu serta peguamnya masih enggan memberi sebarang komen kepada media yang menunggunya sejak pagi di lobi utama.
Guan Eng Rabu lalu hadir kali pertama ke SPRM sebagai saksi bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang.
Beliau dipanggil semula pada Sabtu pagi namun lewat hadir kerana kenderaannya mengalami masalah tayar pancit semasa dalam perjalanan dari utara.
Pada Rabu, Guan Eng memberikan keterangan selama kira-kira enam jam dan tujuh jam pada Sabtu.
Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.
Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.
Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.
Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.
Dalam pada itu, sumber SPRM memberitahu, Guan Eng tidak akan dipanggil esok.
#bekas Menteri Kewangan
#Lim Guan Eng
#projek terowong dasar laut
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia