Guan Eng, mohon maaf dalam tempoh 48 jam atau berdepan tindakan - SPRM
Hakim Rahman
Ogos 25, 2017 19:51 MYT
Ogos 25, 2017 19:51 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beri tempoh 48 jam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mohon maaf atau berdepan tindakan.
Ia berikutan kenyataan yang mendakwa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai 'penahanan haram'.
"Kami merujuk kepada laporan berita bertajuk “Sg Lembu illegal factory: Guan Eng claims ignorance over DoE's letter to MPSP and Norlela” yang disiarkan akhbar New Straits Times hari ini,
"Selepas meneliti audio dan video pertemuan Guan Eng dengan pihak media pada 24 Ogos 2017 di Komtar, Pulau Pinang, SPRM mendapati Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan “penahanan haram oleh SPRM” apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu tersebut,
"SPRM beranggapan ia merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik SPRM serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM," katanya dalam kenyataan.
SPRM turut percaya bahawa Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Mohamed tidak pernah dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Boon Poh menyatakan bahawa penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai ‘penahanan haram’
Justeru itu, Guan Eng digesa agar memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh empat puluh lapan (48) jam daripada kenyataan ini dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.
Tambah kenyataan itu lagi SPRM telah pun memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos 2017 berikutan keputusan mahkamah tersebut yang telah membatalkan penahanan reman terhadap Phee Boon Poh.
Memandangkan rayuan ini masih belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah maka sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak berkaitan penahanan tersebut adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah.